KOTA BHARU: Kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 3.5 meter yang bersembunyi dalam bilik guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, di sini mencetuskan panik petang tadi sebelum reptilia berbisa itu berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Krai.
Operasi menangkap reptilia seberat 12 kilogram itu dilakukan kira-kira jam 3 petang sejurus APM dimaklumkan oleh pihak pengurusan sekolah berkenaan.
Guru Besar SK Pasir Linggi, Mat Il Ibrahim, berkata beliau menyedari kehadiran ular berkenaan selepas dimaklumkan oleh seorang kakitangan sekolah yang melihatnya menyelinap masuk ke dalam bilik guru.
“Ia dipercayai datang dari kawasan belakang sekolah kerana terdapat semak samun. Bimbang ular itu terlepas, saya segera menutup pintu hadapan dan belakang bilik guru dan menghubungi APM yang tiba di lokasi sejam kemudian.
“Mujur pada ketika itu, tiada guru berada dalam bilik kerana waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) sudah tamat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar, berkata ular berkenaan ditangkap tiga anggotanya yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan daripada guru besar sekolah berkenaan.
Katanya, anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap tedung selar itu yang bersembunyi dalam bilik guru.
“Anggota kami terpaksa berhati-hati ketika menangkap ular itu yang agak agresif tetapi dengan latihan yang ada, ia berjaya ditangkap.
“Ular itu ditangkap menggunakan penjerut dan dimasukkan ke dalam sangkar khas dan dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment